Hidroponik... semudah ABC
MUSTAPA (kiri) sedang menerangkan teknik-teknik penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik kepada kakitangan Utusan di Kuala Lumpur, baru -baru ini.
Menurut Pegawai Pertanian, Bahagian Sayuran dan Tanaman Ladang Jabatan Pertanian Malaysia, Mustapa Umar, kerana ia amat mudah, kanak-kanak pun boleh melakukan kegiatan menanam tanaman 3T itu, iaitu 'Tanam, tinggal dan tuai'.
Oleh itu, tegas beliau, soal kesibukan tugas seharian tidak boleh dijadikan alasan oleh sesiapapun untuk menjauhi kegiatan berkebun mengikut kaedah moden itu, terutama menanam sayur-sayuran bagi kegunaan sendiri.
Dengan adanya teknik penanaman yang terkini, tambah beliau, seseorang pada bila-bila masa, sama ada siang atau malam, pagi atau petang, boleh menjalankan kegiatan tersebut mengikut kesesuaian masa masing-masing.
''Oleh kerana corak penanaman sayur-sayuran menggunakan teknik ini amat mudah, tidak hairanlah pada masa ini kita dapati semakin ramai masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar menggunakan cara hidroponik,'' ujarnya.
Difahamkan, lebih 8,000 set hidroponik berjaya dijual dalam masa sebulan sejak kebelakangan ini berbanding 2,000 set sebelumnya dan hanya kira-kira 20 set sahaja pada tahun lalu.
Mustapa berkata, sambutan menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat terhadap usaha menanam sendiri sayur-sayuran, membuktikan kempen kerajaan bagi menangani kegawatan ekonomi mula berhasil.
''Seseorang yang ingin menanam sayur-sayuran mengikut kaedah moden ini hanya perlu menyemai benih sayur yang disukainya dalam set hidroponik.
''Selepas 20 hingga 40 hari, mengikut jenis sayur yang ditanam, mereka bolehlah menuai hasilnya untuk dijadikan hidangan sekeluarga,'' katanya semasa memberi penerangan di Ibu Pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis penerangan itu, kakitangan Utusan turut berpeluang membeli set hidroponik takung dengan harga minimum RM18 setiap satu. Kira-kira 70 set habis dijual selepas majlis tersebut.
Setiap set takung mengandungi tiga jenis biji benih, iaitu kailan (atau salad), sawi (atau sawi kerinting) dan bayam (atau kangkung), serta lima peket baja (cecair dan biji) untuk digunakan bagi lima kali tanaman.
Selain itu, turut disediakan ialah benang dan raga untuk kegunaan penanaman tersebut.
Menurut Mustapa, masa bagi setiap tanaman tersebut boleh dituai adalah berbeza-beza mengikut jenis sayur-sayuran yang ditanam.
''Kangkung dan bayam mengambil masa yang paling singkat, iaitu hanya 20 hari sahaja, sawi pula selama 30 hari, manakala kailan paling lama iaitu 40 hari,'' katanya.
Beliau juga menjelaskan, bagi tanaman kangkung seseorang tidak perlu menukar air baja pada setiap kali tanaman tersebut dituai.
''Mereka hanya perlu memotong bahagian yang dikehendaki dan membiarkan anak-anak kangkung atau sawi yang lain membesar bagi tuaian seterusnya iaitu bagi kali kedua dan ketiga,'' jelasnya.
Kangkung boleh dituai sebanyak tiga kali sebelum tanaman pertama itu diganti, manakala tuaian untuk setiap kali tanaman kailan, sawi atau bayam pula dihadkan sebanyak dua kali sahaja.
Katanya lagi, bagi memperolehi bekalan sayur segar selama sebulan seseorang hanya memerlukan sebanyak 10 takung dan penanaman dilakukan pada minggu-minggu yang berlainan.
''Umpamanya 2 takung ditanam pada minggu pertama, 2 takung lagi untuk minggu kedua dan begitulah seterusnya,''jelasnya.
Menurut beliau lagi, dengan cara itu semua isi rumah akan mendapat bekalan sayur segar selama sebulan tanpa perlu lagi membelinya dari pasar.
Ini bukan saja menjimatkan perbelanjaan dapur serta menjamin bekalan sayur yang bersih, malah juga memberi kepuasan kepada mereka yang menanam tanaman berkenaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz37EE0ezzO
© Utusan Melayu (M) Bhd